21 March 2010

Wanita dan Kupu-kupu




Kasihan kupu-kupu, badannya cantik dan mempesonakan tetapi kalau ditambah perkataan malam, ia bermaksud lain. Hakikatnya, kupu-kupu bukan semuanya keluar malam, sebilangan sahaja yang gemar ‘berpeleseran’ pada waktu hitam pekat, itupun kerana terpedaya oleh lampu di pinggir jalan.

Kupu-kupu tetap indah, cantik dan menawan. Sebilangan besar kupu-kupu terbang pada waktu siang, hinggap pada bunga-bungaan, menghirup manisan yang tersembunyi di tengah-tengah. Kemudian kupu-kupu terbang lagi dan hinggap di dedaunan segar. Siapa pun pasti melirik apabila terperasankan kelibat kupu-kupu, hati siapa pun ingin memiliki keindahan, kecantikan dan keunikannya di hujung jari.

Tetapi sayap kupu-kupu mudah berderai, apabila sudah berderai, tiada siapa akan menginginkannya lagi. Kupu-kupu pun terbiar…

Wahai wanita dan kupu-kupu, anda ada persamaan…
Wahai wanita dan kupu-kupu, anda tamsilan kepada keindahan…
Wahai wanita dan kupu-kupu, anda juga tamsilan
Kepada kerosakan dan kemusnahan…

Demikian wanita dijadikan Allah untuk menghiasi bumi ini sebagaimana kupu-kupu dijadikan Allah untuk menghiasi bunga-bungaan. Tanpa wanita dunia ini terasa sempit dan tidak seronok untuk didiami. Kaum lelaki akan berasa rimas sebagaimana Nabi Adam a.s. pernah dilanda gelisah meskipun hidup dipenuhi kenikmatan di Syurga. Lalu baginda memohon kepada Allah agar dijadikan seorang teman, agar boleh dia berbicara, bersenda gurau dan membina sahsiahnya. Terciptalah Hawa dari tulang rusuk kiri Nabi Adam a.s. Barulah terisi jiwa Nabi Adam a.s. dan segala kenikmatan Syurga di sekelilingnya terasa wujud.

Ternyata wanita cukup perlu dalam kehidupan lelaki sebagaimana bunga amat perlu kepada suntingan kupu-kupu untuk merealisasikan proses pendebungaan. Tanpa permaisuri, siapalah lelaki yang bergelar raja itu, tanpa isteri siapalah lelaki yang bergelar suami itu, tanpa wanita siapalah peria yang mahu digelar pemimpin itu dan tanpa perempuan siapalah maskulin yang konon mahu digelar ayah itu?

Tanpa Siti Khadijah, barangkali Rasulullah s.a.w. tidak mendapat ‘dorongan’ yang diperlukannya. Tanpa Aishah, barangkali banyak hadis Rasulullah s.a.w. tidak sampai kepada umat Islam seluruhya. Tanpa Fatimah az-Zahrah, barangkali Saidina Ali tidak muncul sebagai menantu Rasulullah s.a.w. yang amat disayangi. Tanpa Asiah, barangkali Nabi Musa a.s. tidak terbela sehingga menjadi penentang kepada suaminya yang amat kufur dan mengaku Tuhan itu. Tanpa Masitah, barangkali tidak terbukti betapa wanita boleh berpegang teguh kepada keimanan meskipun maut di depan matanya. Dan tanpa wanita, siapalah lelaki kerana setiap lelaki datangnya dari perut wanita.

Namun, seorang wanita yang menjadi isteri kepada Nabi Nuh a.s. telah bertukar menjadi seorang penentang kepada kebenaran dan dalam sejarah manusia sejagat ramai wanita menjadi pendorong kepada kemiskinan, kekufuran, kehancuran dan kemusnahan lelaki.

Alangkah besar dan pentingnya peranan wanita dalam kehidupan lelaki, sebagaimana besar dan pentingnya peranan kupu-kupu dalam menambahbiakkan bunga-bungaan dan menambahindahkan bumi ini. Tetapi alangkah besar dan hebatnya peranan wanita dalam merosakkan kehidupan lelaki, sebagaimana besar dan hebatnya peranan kupu-kupu merosakkan dirinya sendiri dengan menerjah api…