25 October 2010

ANAK PERMATA HATI AYAH BONDA


Assalamualaikum ...

Alhamdulillah segala puji hanya bagi tuhan sekelian alam, selawat dan salam keatas junjungan besar Sayyidina Muhammad saw. dan ahli keluarnya serta sahabatnya dan pengikutnya sehingga hari pembalasan.

Sudah lama saya tak update blog ni , keadaannya pun sudah nampak begitu usang ,
sibuk sangat sampai tak ingat langsung saya mempunyai laman blog sendiri .
oklah buat pengunjung yang dikasihi , entry saya kali ini tentang kehadiran orang baru dalam keluarga saya. puteri sulong permata hati ayah & bonda.


Setelah selama 9 bulan 10 hari berada di dalam kandungan ibunya, maka pada 13 Oktober 2010 (5 Dzul al-Qi`dah 1431; 8.11 malam) bersamaan hari Wednesday, lahirlah seorang bayi perempuan yang sangat comel,Nur Amrina Rashada . insan permata hati, penghibur hati penenang jiwa ibu bapa. Bersyukur yang tak terhingga dan Alhamdulillah dengan kebesaran Allah yang maha kuasa mentadbir sekelian alam. Menitis air mataku ketika melihat insan ciptaan yang Maha Esa.

Setiap apa yang dicipta ada tujuannya dan setiap kejadian yang menimpa pasti ada hikmahnya. Jangan berputus asa mengharapkan bantuan dan pertolonganNya. Yakin denganNya kerana pasti… pasti… pasti tanpa ragu dan was, Dia akan membantu. Kelahiran bayi ini memberi erti mendalam dalam kehidupan ini dan semoga bayi yang dilahirkan ini menjadi anak solehan. Insyaallah. Amin

30 May 2010

Pendidikan Anak Versi Fiqh Dakwah


Suatu pepatah arab ada mengatakan “al-insan abdul ihsan”, manusia itu adalah hamba kepada kebaikan. Semua orang suka kepada orang yang bersikap baik padanya dan benci pada orang yang bersikap buruk padanya. Siapa pun dia.

Jiwa seseorang memang lebih menggemari berbuat sesuka hati dan mengikuti perasaan mereka. Kalau perkara ini tetap terjadi pada seorang yang sudah pun boleh berfikir dengan waras, apatah lagi kanak-kanak yang baru setahun jagung usianya.

Bayangkan diri kita di pejabat. Pagi itu kita sampai lambat ke pejabat kerana ada sedikit kekecohan yang berlaku di rumah. Tiba di pejabat, bos panggil masuk ke dalam bilik dan memarahi kita dengan suara yang kuat. semua orang dengar. Memang salah kita kerana datang lambat, tetapi hati kita tetap menanamkan perasaan benci terhadap bos yang memarahi kita tadi.

Tukar keadaan itu, bos kita panggil kita masuk ke bilik, pintu bilik di tutup. Bos menghulurkan secawan kopi. Bos kita kemudiannya bertanya dengan lembut akan sebab mengapa kita terlewat datang ke pejabat. Kita memberikan alasan. Bos menerima alasan tersebut. Bos kemudiannya bercerita dengan lembut akan kesan kedatangan kita yang lambat ke pejabat terhadap syarikat dan motivasi kawan-kawan kita yang lain. Bos kemudiannya meminta kita agar cuba sedaya-upaya untuk datang awal pada hari-hari berikutnya.

Bagaimana perasaan anda jika bos anda melakukan yang demikian?

“Serulah manusia ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik…”

(an-nahl:125)

Ajak anak kepada perubahan diri menggunakan kaedah yang berhikmah dan nasihat yang baik. Sehingga anak terdidik dengan rasional, sopan santun, akhlak, budi pekerti, dan semangat berbuat baik yang datang dari dalam diri, bukannya perlu dipaksa-paksa dan dimarah-marah.

“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, maka berbicaralah kalian kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”

(thaha:43-44)

Kepada Firaun yang begitu zalim pun Allah menyuruh Nabi Musa dan Harun untuk berbicara dengan lemah lembut, apatah lagi dengan anak sendiri? Bagaimana Musa berkata kepada Fir’aun?

“Dan katakanlah (kepada Firaun), “Adakah kamu mempunyai keinginan membersihkan diri dan aku akan menunjukkan padamu jalan menuju kepada Tuhanmu supaya engkau takut kepadanya.”"

(an-Naziat:18-19)

Begitulah yang diajarkan di dalam islam. Memang caranya lebih susah berbanding menggunakan kuasa marah, akan tetapi sangat menyenangkan untuk jangka masa yang panjang di hadapan.

21 March 2010

Wanita dan Kupu-kupu




Kasihan kupu-kupu, badannya cantik dan mempesonakan tetapi kalau ditambah perkataan malam, ia bermaksud lain. Hakikatnya, kupu-kupu bukan semuanya keluar malam, sebilangan sahaja yang gemar ‘berpeleseran’ pada waktu hitam pekat, itupun kerana terpedaya oleh lampu di pinggir jalan.

Kupu-kupu tetap indah, cantik dan menawan. Sebilangan besar kupu-kupu terbang pada waktu siang, hinggap pada bunga-bungaan, menghirup manisan yang tersembunyi di tengah-tengah. Kemudian kupu-kupu terbang lagi dan hinggap di dedaunan segar. Siapa pun pasti melirik apabila terperasankan kelibat kupu-kupu, hati siapa pun ingin memiliki keindahan, kecantikan dan keunikannya di hujung jari.

Tetapi sayap kupu-kupu mudah berderai, apabila sudah berderai, tiada siapa akan menginginkannya lagi. Kupu-kupu pun terbiar…

Wahai wanita dan kupu-kupu, anda ada persamaan…
Wahai wanita dan kupu-kupu, anda tamsilan kepada keindahan…
Wahai wanita dan kupu-kupu, anda juga tamsilan
Kepada kerosakan dan kemusnahan…

Demikian wanita dijadikan Allah untuk menghiasi bumi ini sebagaimana kupu-kupu dijadikan Allah untuk menghiasi bunga-bungaan. Tanpa wanita dunia ini terasa sempit dan tidak seronok untuk didiami. Kaum lelaki akan berasa rimas sebagaimana Nabi Adam a.s. pernah dilanda gelisah meskipun hidup dipenuhi kenikmatan di Syurga. Lalu baginda memohon kepada Allah agar dijadikan seorang teman, agar boleh dia berbicara, bersenda gurau dan membina sahsiahnya. Terciptalah Hawa dari tulang rusuk kiri Nabi Adam a.s. Barulah terisi jiwa Nabi Adam a.s. dan segala kenikmatan Syurga di sekelilingnya terasa wujud.

Ternyata wanita cukup perlu dalam kehidupan lelaki sebagaimana bunga amat perlu kepada suntingan kupu-kupu untuk merealisasikan proses pendebungaan. Tanpa permaisuri, siapalah lelaki yang bergelar raja itu, tanpa isteri siapalah lelaki yang bergelar suami itu, tanpa wanita siapalah peria yang mahu digelar pemimpin itu dan tanpa perempuan siapalah maskulin yang konon mahu digelar ayah itu?

Tanpa Siti Khadijah, barangkali Rasulullah s.a.w. tidak mendapat ‘dorongan’ yang diperlukannya. Tanpa Aishah, barangkali banyak hadis Rasulullah s.a.w. tidak sampai kepada umat Islam seluruhya. Tanpa Fatimah az-Zahrah, barangkali Saidina Ali tidak muncul sebagai menantu Rasulullah s.a.w. yang amat disayangi. Tanpa Asiah, barangkali Nabi Musa a.s. tidak terbela sehingga menjadi penentang kepada suaminya yang amat kufur dan mengaku Tuhan itu. Tanpa Masitah, barangkali tidak terbukti betapa wanita boleh berpegang teguh kepada keimanan meskipun maut di depan matanya. Dan tanpa wanita, siapalah lelaki kerana setiap lelaki datangnya dari perut wanita.

Namun, seorang wanita yang menjadi isteri kepada Nabi Nuh a.s. telah bertukar menjadi seorang penentang kepada kebenaran dan dalam sejarah manusia sejagat ramai wanita menjadi pendorong kepada kemiskinan, kekufuran, kehancuran dan kemusnahan lelaki.

Alangkah besar dan pentingnya peranan wanita dalam kehidupan lelaki, sebagaimana besar dan pentingnya peranan kupu-kupu dalam menambahbiakkan bunga-bungaan dan menambahindahkan bumi ini. Tetapi alangkah besar dan hebatnya peranan wanita dalam merosakkan kehidupan lelaki, sebagaimana besar dan hebatnya peranan kupu-kupu merosakkan dirinya sendiri dengan menerjah api…